Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Kerjasama politik diterjemahkan di peringkat tertinggi seharusnya dilaksanakan secara menyeluruh sehingga ke peringkat pimpinan akar umbi bagi memastikan semangat kebersamaan pentadbiran benar-benar dirasai masyarakat.Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, adalah lebih elok sekiranya ruang kebersamaan, perjumpaan, serta mesyuarat berkala disediakan di peringkat akar umbi agar pimpinan daripada pelbagai parti dapat bertukar pandangan dengan lebih dekat.Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa kesal kerana perkara sedemikian didakwa tidak berlaku di Wilayah Persekutuan apabila tiada sebarang mesyuarat diadakan sepanjang tempoh tiga tahun ini."Tidak ada mesyuarat dilakukan. Tidak ada penghormatan oleh Menteri Wilayah (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh Tseow Suan) untuk menjemput pimpinan bertukar pandangan," ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.Menurut Mohd Razlan, Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) atas usaha Perdana Menteri sebenarnya telah meletakkan syarat untuk semua parti di peringkat akar umbi bekerjasama, namun syarat tersebut didakwa tidak diikuti dan tidak dipatuhi oleh Hannah Yeoh.Beliau menegaskan bahawa tindakan membolot jawatan kemasyarakatan oleh hanya satu parti memberikan isyarat yang salah kepada masyarakat, di mana kebersamaan hanya kelihatan di peringkat atas tetapi tidak dizahirkan di peringkat bawah.Jelas beliau lagi, rakyat di peringkat bawah mahukan usaha konkrit yang memberi mereka keselesaan dan ketenangan dengan melihat pimpinan mereka bekerjasama secara ikhlas."Apabila rakyat dipamerkan kerjasama antara parti seperti bersama-sama bersingsing lengan melakukan aktiviti gotong-royong, mereka akan rasa selesa, tenang dan tidak akan dilaga-lagakan disebabkan oleh politik," ujarnya.Beliau menambah bahawa kenyataan ini merupakan satu pandangan ikhlas dan bukannya berniat untuk mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya menuntut keikhlasan serta usaha yang berterusan ke arah pengukuhan kerjasama tersebut.Kenyataan Mohd Razlan dikeluarkan susulan kenyataan Hannah Yeoh sendiri menerusi laporan berita bertajuk Semangat mentadbir bersama di KL diutamakan walau UMNO hanya satu kerusi pada Selasa.Dalam laporan itu, Hannah Yeoh yang juga Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP menyatakan bahawa Pakatan Harapan (PH) di Kuala Lumpur sentiasa mengutamakan semangat mentadbir bersama meskipun gabungan itu memiliki jauh lebih banyak kerusi berbanding UMNO.Beliau turut memberikan contoh di mana pandangan satu-satunya Ahli Parlimen UMNO di Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, sentiasa diambil kira dalam pengurusan hal ehwal wilayah berkenaan.
Go to News Site