Collector
Giriş Yap
Kitar semula jana pendapatan | Collector
Kitar semula jana pendapatan

Kitar semula jana pendapatan

IPOH – Amalan kitar semula di Taman Chepor Idaman bukan sahaja membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar malah mampu menjana pendapatan kepada penduduk.Ia secara tidak langsung memperkukuh pembangunan komuniti setempat selaras dengan aspirasi Ipoh sebagai Bandar Ekonomi Donat.Pengerusi Taman Chepor Idaman, Mohd Syukur Jalinu berkata, inisiatif Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik atau Trash4Cash yang diwujudkan di kawasan perumahan itu memberi peluang kepada penduduk menukar bahan buangan kepada sumber pendapatan.Menurutnya, program berkenaan dilaksanakan persatuan berkenaan menerusi sokongan kerajaan negeri dan persekutuan bagi menangani masalah pelupusan sisa domestik yang sering dihadapi penduduk."Trash4Cash bukan untuk keuntungan persatuan semata-mata tetapi memberi manfaat kepada penduduk. Hasil kutipan boleh disalurkan sebagai sumbangan kepada pembinaan surau di kawasan ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian.Mohd Syukur berkata, selain kertas dan plastik, penduduk turut digalakkan menghantar sisa elektronik (e-waste) serta minyak masak terpakai yang berpotensi mencemarkan alam sekitar jika dibuang sewenang-wenangnya.Sementara itu, Pengarah Korporat Trash4Cash Enviro (M) Sdn Bhd, Dina Shafreena Mohd Saiful Anuar berkata, pusat kitar semula di Taman Chepor Idaman mula beroperasi sejak April 2024 menggunakan konsep layan diri berasaskan aplikasi digital.Menurutnya, pengguna hanya perlu mendaftar melalui aplikasi Trash4Cash, mengimbas kod QR dan meletakkan bahan kitar semula yang telah dilabelkan ke pusat pengumpulan."Lori akan datang seminggu sekali untuk membuat timbangan dan semua maklumat seperti berat bahan, jumlah pendapatan serta pengurangan pelepasan karbon akan dipaparkan dalam aplikasi pengguna," katanya.Beliau berkata, syarikat itu turut memperkenalkan program Trash4Protection yang membolehkan nilai bahan kitar semula ditukar kepada caruman perlindungan insurans selama setahun.Beliau berkata, pusat di Taman Chepor Idaman kini mengumpulkan kira-kira 500 kilogram bahan kitar semula setiap bulan manakala pusat di Lekir berjaya merekodkan kutipan sehingga dua tan sebulan.Inisiatif berkenaan dilihat menepati prinsip Ekonomi Donat yang menekankan keseimbangan antara kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar seterusnya membuktikan amalan kitar semula mampu menjadi pemangkin pembangunan komuniti yang lebih mampan di Ipoh.Ipoh Bandar Ekonomi Donat 2027 merupakan sebahagian daripada Flagship Pelan Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Go to News Site