Sinar Harian
SHAH ALAM - Pas menegaskan hubungan di peringkat parti dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diberhentikan, namun hubungan di peringkat individu dan ahli berjalan seperti biasa serta terus dihormati.Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, Pas mengambil kira dan memahami masalah dalaman serta proses transisi yang sedang dihadapi Bersatu.Menurutnya, Pas kekal dengan sikap terbuka dan mesra terhadap semua ahli Bersatu.Beliau berkata, Pas turut mengambil perhatian terhadap dinamik dalam kalangan ahli Bersatu yang berkemungkinan menyaksikan penghijrahan besar-besaran dari satu pihak ke satu pihak yang lain."Justeru buat masa ini, kedudukan individu dalam kerajaan pimpinan Pas tidak terjejas selagi mereka menyokong dan bekerjasama dengan Pas."Kestabilan politik kekal diutamakan. Masa perlu diberikan kepada mereka untuk membuat pendirian masing-masing dan Pas tidak akan mencampurinya," ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Rabu.Annuar berkata, Pas turut mengambil kira ramai ahli Bersatu yang kekal mahu bekerjasama dengan parti itu.Ujarnya, perkara itu dialu-alukan oleh Pas.Menurut beliau, tumpuan Pas kini terarah kepada usaha memperkasa parti bagi memikul amanah dan aspirasi rakyat dengan lebih berkesan."Pas juga akan terus berusaha menjayakan perpaduan politik Melayu Islam serta muafakat pelbagai kaum demi masa depan Malaysia yang lebih sejahtera," tambahnya.
Go to News Site