Sinar Harian
PERSEKUTUAN Bolasepak Iran (FFIRI) mendakwa kuota tiket yang diperuntukkan kepada penyokong negara itu bagi saingan Piala Dunia 2026 ditarik balik hanya beberapa hari sebelum kejohanan bermula, sekali gus mencetuskan kontroversi baharu menjelang temasya bola sepak terbesar dunia itu.FFIRI dalam satu kenyataan memaklumkan mereka sebelum ini telah memulakan proses penjualan tiket rasmi kepada penyokong bagi perlawanan kumpulan membabitkan Iran menentang New Zealand, Belgium dan Mesir.Bagaimanapun, menurut badan induk bola sepak Iran itu, mereka kini tidak lagi dapat mengagihkan tiket berkenaan kepada penyokong yang layak."Ramai penyokong bola sepak Iran telah membuat perancangan perjalanan berdasarkan proses rasmi yang diumumkan sebelum ini."Menafikan akses penyokong Iran kepada peruntukan tiket rasmi mereka adalah tindakan yang bertentangan dengan semangat pertandingan antarabangsa dan prinsip kesaksamaan antara negara peserta," kata FFIRI.Mengikut peraturan FIFA, setiap negara yang bertanding lazimnya menerima kira-kira lapan peratus daripada kapasiti tiket bagi setiap perlawanan untuk diagihkan kepada penyokong masing-masing.FFIRI turut mempersoalkan kemungkinan campur tangan faktor bukan sukan dalam pengurusan kejohanan itu."Perkembangan ini menimbulkan persoalan serius mengenai campur tangan pertimbangan politik dan bukan sukan dalam penganjuran acara bola sepak terbesar dunia," menurut kenyataan itu lagi.Walaupun tidak menamakan pihak yang bertanggungjawab terhadap keputusan berkenaan, FFIRI menggesa FIFA berpegang kepada prinsip berkecuali, keadilan dan peraturan sedia ada bagi memastikan penyokong Iran mendapat layanan sama seperti negara peserta lain.Sementara itu, FIFA berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan FFIRI bagi mencari penyelesaian yang mematuhi peraturan dan pada masa sama memaksimumkan peluang penyokong Iran menghadiri perlawanan pasukan mereka.Isu berkenaan menambah lagi ketidaktentuan yang menyelubungi penyertaan Iran ke Piala Dunia 2026 susulan ketegangan geopolitik melibatkan negara itu dan Amerika Syarikat, salah satu tuan rumah kejohanan.Sebelum ini, skuad Iran turut berdepan isu visa dan terpaksa memindahkan kem latihan mereka dari Arizona ke Mexico.Iran dijadual memulakan kempen Kumpulan G menentang New Zealand pada 16 Jun sebelum berdepan Belgium dan Mesir dalam baki aksi peringkat kumpulan.
Go to News Site