Collector
Giriş Yap
FIFA hanya mampu lihat pengusiran Omar Artan | Collector
FIFA hanya mampu lihat pengusiran Omar Artan

FIFA hanya mampu lihat pengusiran Omar Artan

PERSEKUTUAN Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengakui tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam urusan imigresen Amerika Syarikat (AS) susulan kontroversi membabitkan pengadil Somalia, Omar Abdulkadir Artan yang dinafikan kemasukan ke negara itu walaupun memiliki visa sah.Dalam kenyataannya, FIFA menjelaskan semua urusan berkaitan kemasukan ke sesebuah negara tertakluk kepada undang-undang dan bidang kuasa kerajaan berkenaan, termasuk negara tuan rumah bagi kejohanan antarabangsa.Badan induk bola sepak dunia itu turut mengesahkan Artan tidak akan dapat menyertai tugasan rasmi yang dijadualkan, sekali gus memusnahkan harapannya untuk mengadili aksi Piala Dunia 2026."Seperti kejohanan FIFA sebelum ini, kerajaan negara tuan rumah mempunyai kuasa muktamad untuk menentukan siapa yang menerima visa dan dibenarkan memasuki wilayah mereka," kata FIFA.Kes berkenaan mencetuskan perhatian meluas dalam kalangan pemerhati sukan antarabangsa memandangkan Artan sebelum ini dipilih FIFA sebagai antara pegawai perlawanan bagi kejohanan terbesar dunia itu.Artan sepatutnya mencipta sejarah sebagai rakyat Somalia pertama yang bertugas sebagai pengadil di pentas Piala Dunia, namun peluang itu kini terkubur susulan keputusan imigresen berkenaan.Menurut pihak berkuasa AS, pengadil berusia 34 tahun itu ditahan untuk pemeriksaan lanjut sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami sebelum diputuskan tidak layak memasuki negara berkenaan atas faktor yang dikaitkan dengan proses saringan keselamatan.Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak memperincikan alasan sebenar penolakan tersebut.Somalia antara beberapa negara tersenarai dalam larangan perjalanan yang diperkenalkan oleh pentadbiran Donald Trump sebagai sebahagian daripada langkah memperketat dasar imigresen.Piala Dunia 2026 yang dianjurkan bersama oleh AS, Kanada dan Mexico bermula Jumaat ini dengan perlawanan pembukaan menyaksikan Mexico berdepan Afrika Selatan di Mexico City (3 pagi waktu Malaysia).

Go to News Site