Sinar Harian
PETALING JAYA – Pelakon Amyza Aznan mengakui hatinya sering dirundung pilu apabila melihat anak keduanya, Adrian Adam, menanggung kesakitan akibat kanser tulang yang disahkan dihidapinya sejak Ramadan lalu.Menurut Amyza, keadaan anaknya yang baru berusia 18 tahun itu memberi kesan mendalam terhadap emosinya, lebih-lebih lagi apabila terpaksa mendengar rintihan kesakitan yang dialami hampir setiap hari.Katanya, kehilangan anak sulung sebelum ini dan ujian kesihatan yang dihadapi Adrian ketika ini merupakan dugaan yang amat berat untuk ditanggung."Seorang anak sudah pergi (Allahyarham Andre), kini seorang lagi berdepan penyakit yang sama. Setiap hari dan setiap malam dia mengadu sakit."Saya sendiri tidak tahu apa yang mampu dilakukan. Sebelum tidur saya akan bertanya keadaannya dan jawapan yang diberikan tetap sama, iaitu sakit."Sebelum ini dia tidak mahu berkongsi kesakitannya dengan saya, sebaliknya meluahkan kepada orang lain," katanya menerusi siaran langsung di Instagram, semalam.Amyza berkata, tahap kesakitan yang dialami Adrian dilaporkan semakin kerap sejak minggu lalu sehingga menyebabkan remaja itu menangis apabila tidak mampu menahannya lagi.Menurutnya, Adrian juga sering menyembunyikan keadaan sebenar daripada pengetahuannya."Hampir setiap hari minggu lalu, apabila kesakitan menjadi terlalu kuat, dia akan menangis."Dia seorang anak yang sangat baik, tetapi bijak menyembunyikan kesakitannya daripada saya. Bila ditanya sama ada sakit atau tidak, dia akan kata tidak," ujarnya.Dalam perkembangan lain, Amyza memaklumkan Adrian kini sedang menjalani rawatan di beberapa pusat rawatan dan tidak hanya tertumpu di satu lokasi sahaja.Katanya, setiap sesi rawatan menelan kos kira-kira RM900 dan mereka turut mendapatkan rawatan di beberapa tempat lain bagi meningkatkan peluang pemulihan."Ketika ini kami mencuba beberapa kaedah rawatan. Harapan kami dengan teknologi yang ada, Adrian tidak perlu menjalani pembedahan dan kanser itu dapat dirawat dengan baik."Doktor memaklumkan dia perlu menjalani sekitar 80 sesi rawatan dalam tempoh empat bulan lagi. Kos keseluruhan dianggarkan mencecah RM53,000, tidak termasuk rawatan lain yang turut berdaftar," katanya.Amyza turut berkongsi keadaan semasa Adrian yang kini mengalami masalah foot drop atau kesukaran mengangkat kaki akibat tekanan pada saraf yang berpunca daripada bengkak pada bahagian kaki."Bengkak pada betisnya sangat besar, hampir sebesar bola takraw. Keadaan itu menyebabkan dia sukar berjalan kerana terasa berat," katanya.Pada Februari lalu, Adrian disahkan menghidap kanser tulang dan kini sedang menjalani rawatan alternatif bagi membantu proses pemulihan.Sementara itu, pengacara Datuk Aznil Nawawi sebelum ini berjaya mengumpulkan sumbangan orang ramai berjumlah RM200,000 bagi membantu menampung kos rawatan Adrian.Terdahulu, Amyza turut kehilangan anak sulungnya yang meninggal dunia pada 23 Februari akibat kanser paru-paru.
Go to News Site