Malaysia bersiap hadapi cabaran siber
CABARAN keselamatan siber antara perkara serius yang kini menjadi agenda utama negara dalam usaha Malaysia untuk membina kepercayaan digital di peringkat global.Perkara itu dinyatakan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Kriptografi Pasca-Kuantum 2025 (ICE-PQC 2025) di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), di Serdang pada Rabu.Beliau yang hadir mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merasmikan ICE-PQC 2025 itu menegaskan, kerajaan serius dalam menangani ancaman keselamatan siber yang boleh mengugat keyakinan pelabur asing ke negara ini.Katanya, keselamatan siber bukan sekadar isu teknikal, tetapi turut merangkumi soal kepercayaan negara, kestabilan ekonomi dan kedaulatan yang perlu berevolusi dalam menghadapi era kuantum."Inisiatif ini mencerminkan komitmen negara dalam memacu kedaulatan digital serta memperkukuh keselamatan siber negara dalam menghadapi cabaran era komputer kuantum."Pelaksanaan Pelan Migrasi PQC Kebangsaan 2025–2030 di bawah penyeliaan NACSA menjadi panduan strategik bagi memastikan peralihan sistem kriptografi negara berlaku secara selamat dan selaras dengan piawaian antarabangsa."Langkah ini memperkukuh usaha membina kepercayaan digital negara yang berdaya tahan, sekali gus meningkatkan keyakinan global terhadap keselamatan digital Malaysia," katanya.ICE-PQC 2025 dianjurkan UPM bersama Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM) dengan kerjasama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) berlangsung selama dua hari berakhir Khamis.Pada masa sama Shamsul Azri turut menyeru agar semua pihak termasuk kerajaan, universiti dan industri berganding bahu dalam membina ekosistem kriptografi tempatan yang mampan serta memperkasa bakat nasional dalam bidang keselamatan siber dan teknologi pasca-kuantum.Persidangan ini menghimpunkan pakar kriptografi, penyelidik, pembuat dasar serta pemain industri keselamatan digital dari dalam dan luar negara bagi membincangkan cabaran serta penyelesaian dalam menghadapi era komputer kuantum, yang dijangka bakal mengubah sepenuhnya landskap keselamatan siber dunia.