'Pikul dua peranan serentak boleh jejas tumpuan pemandu kenderaan pelancongan' - King Sing

'Pikul dua peranan serentak boleh jejas tumpuan pemandu kenderaan pelancongan' - King Sing

SHAH ALAM – Pemandu kenderaan pelancongan tidak dibenarkan memikul dua peranan serentak ketika melaksanakan perjalanan persiaran. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan, tugas pemandu adalah mengemudi kenderaan dengan selamat, manakala pemandu pelancong pula bertanggungjawab memberi penerangan dan menjaga kebajikan pelawat sepanjang perjalanan. “Hal ini kerana keadaan tersebut boleh menyebabkan pemandu gagal memberi tumpuan sepenuhnya ketika mengemudi kenderaan. “Dalam usaha memajukan industri pelancongan Malaysia, memastikan keselamatan pelancong dan pelancongan yang selamat ialah tanggungjawab yang mesti dipikul bersama. “Jika didapati berlaku pelanggaran sedemikian, tindakan tegas akan diambil,” katanya dalam kenyataan pada Rabu. Beliau berkata, berdasarkan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482), mana-mana perjalanan persiaran atau aktiviti pemanduan pelancong, kenderaan yang membawa pelawat bagi tujuan pelancongan hendaklah mempunyai lesen sah. Menurutnya, aspek keselamatan dan pembahagian tugas secara profesional tidak boleh dipandang ringan, terutama selepas beberapa insiden kemalangan jalan raya melibatkan pelawat asing yang dilaporkan dalam tempoh kebelakangan ini. Kata beliau, jumlah kemalangan yang meningkat bukan sahaja menjejaskan imej, malah memberi kesan kepada perkembangan industri pelancongan di negara ini. “Bagaimanapun, mengambil kira keperluan operasi sebenar industri dan situasi pergerakan pelancong antara lokasi yang berbeza, kementerian melalui garis panduan yang dikeluarkan pada tahun 2009 telah memperuntukkan pengecualian tatacara dalam keadaan tertentu melibatkan keperluan menggunakan khidmat pemandu pelancong. “Pengecualian khidmat pemandu pelancong akan terpakai secara automatik bagi perjalanan 'shuttle' yang hanya melibatkan perkhidmatan pengangkutan dari satu lokasi ke satu lokasi (point-to-point), dengan jumlah pelancong tujuh orang ke bawah, sama ada pelawat tempatan atau asing,” ujarnya. Ujar beliau, pengecualian tatacara itu tidak merangkumi sebarang bentuk aktiviti persiaran, penerangan atau persinggahan di lokasi tarikan. “Kenderaan pelancongan yang membawa tujuh orang ke atas bagi tujuan pengangkutan, pengusaha berkaitan hendaklah mengemukakan permohonan kepada Pesuruhjaya Pelancongan melalui Sistem Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan (Sistem TOURLIST) sebelum pengecualian boleh dipertimbangkan,” menurutnya. King Sing berkata, proses perbincangan antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) mengenai sistem dwi-lesen melibatkan lesen kenderaan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan lesen syarikat pelancongan kini berada pada peringkat akhir. “Langkah seterusnya adalah untuk memperjelas had pengurusan lesen dan bidang kuasa penguatkuasaan bagi memastikan tanggungjawab yang jelas, piawaian yang seragam serta mengelakkan pertikaian antara pengusaha dan pihak berkuasa akibat perbezaan tafsiran,” katanya.

Peniaga didenda RM8,000 jual rokok harga rendah

Peniaga didenda RM8,000 jual rokok harga rendah

KEMAMAN - Seorang pemilik kedai runcit didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah menjual rokok di bawah harga minimum yang ditetapkan iaitu RM12 sekotak.Hakim Wan Suhaila Mohd memutuskan hukuman itu terhadap Saidatul Akmal Mohamad Noor, 51, selaku orang kena saman (OKS) sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan.Berdasarkan pertuduhan, lelaki berkenaan didapati menjual paket produk merokok bukan pada harga jualan minimum RM12 bagi setiap paket rokok.Kesalahan tersebut dilakukan di premis perniagaannya di Chukai, di sini kira-kira jam 11 pagi pada 27 Oktober 2024.OKS didakwa mengikut Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 10(2)(a) akta sama.Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM20,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.Mahkamah kemudian menjatuhi hukuman denda RM8,000 atau lima bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Alias Awang Kechik.Sebelum ini, tujuh anggota penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan risikan dengan menyamar sebagai pelanggan sebelum melaksanakan serbuan di premis berkenaan.Hasil pemeriksaan mendapati premis itu menjual rokok pada harga lebih rendah daripada harga minimum yang ditetapkan.Sebanyak 10 kotak rokok bernilai keseluruhan RM60 turut disita dalam operasi tersebut.

Kerajaan Madani terbuka terhadap kritikan konstruktif - Adam Adli

Kerajaan Madani terbuka terhadap kritikan konstruktif - Adam Adli

MELAKA - Kerajaan sentiasa terbuka terhadap kritikan konstruktif kerana pendekatan seperti itu terbukti banyak membantu dalam penambahbaikan dasar, termasuk inisiatif pendidikan percuma kepada kumpulan pelajar tertentu yang sedang dilaksanakan ketika ini.Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, keterbukaan itu telah membawa impak positif, antaranya langkah kerajaan menyediakan pendidikan percuma kepada pelajar daripada golongan B40 dan orang kurang upaya (OKU) yang belum pernah dilakukan sebelum ini."Seramai 10,000 pelajar B40 kini mendapat pendidikan percuma dan kira-kira 3,000 pelajar OKU juga bakal menerima manfaat yang sama."Ini adalah pencapaian yang tidak pernah dilaksanakan sebelum ini, namun perkara ini jarang diketengahkan," katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Cek Cura Pembinaan Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan Ayer Keroh di sini hari ini.Mengenai isu sekatan perjalanan terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang culas, Adam Adli berkata, kerajaan pada hari ini tidak mengamalkan pendekatan pukul rata atau blanket policy seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini."Kita tidak setuju untuk menyekat semua peminjam kerana sebelum sebarang sekatan dikenakan, kerajaan akan menilai kedudukan kewangan, pekerjaan dan kemampuan peminjam."Sekatan hanya melibatkan kira-kira 0.7 peratus peminjam culas yang mempunyai pendapatan tinggi, berkemampuan membayar tetapi langsung tidak mahu berunding."Kita juga mengutamakan rundingan serta bantuan bagi memastikan mereka mampu melunaskan pinjaman kerana kita tidak boleh menghukum peminjam yang berhutang semata-mata untuk belajar. Prinsip itu kekal dan sebab itu kita sentiasa mencari jalan untuk membantu, bukan menekan," katanya yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya.Terdahulu pada majlis berkenaan, beliau menyampaikan cek cura berjumlah RM1 juta bagi pembinaan sebuah dewan terbuka untuk kegunaan lebih 800 murid dan warga sekolah berkenaan dengan jangkaan siap dalam tempoh 48 minggu.Adam Adli berkata, dewan terbuka tersebut akan dilengkapi dengan kemudahan pentas, sistem audio, tandas serta bilik persalinan bagi melancarkan aktiviti kokurikulum dan kurikulum murid di sekolah berkenaan."Projek ini di bawah kendalian Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Melaka dan merupakan antara usaha memperkukuhkan prasarana sekolah demi keselesaan dan manfaat jangka panjang warga sekolah," katanya.- Bernama