Penjaga pesakit terlantar berisiko tinggi jatuh sakit
SHAH ALAM – Penjaga pesakit terlantar berisiko tinggi mengalami masalah kesihatan fizikal dan mental sekiranya beban tanggungjawab itu tidak diurus dengan baik.Pakar Perunding Psikiatri Pusat Perubatan MSU (MSUMC), Profesor Dr Muhammad Najib Mohamad Alwi berkata, peranan sebagai penjaga memerlukan dedikasi tanpa henti tetapi sering memberi kesan besar kepada kesihatan mereka."Secara fizikal, golongan penjaga mungkin mengalami gangguan tidur, hipertensi, obesiti atau penyakit kardiovaskular akibat kadar kortisol yang tinggi dan pengabaian tabiat pemakanan serta senaman."Dari segi mental pula, tekanan berpanjangan boleh mencetuskan gangguan kemurungan, kebimbangan dan perasaan rendah diri, yang dikenali sebagai Sindrom Pengasuh (Caregiver Syndrome)," katanya kepada Sinar Ahad.Menurut beliau, kajian menunjukkan sehingga 85 peratus pengasuh berisiko mengalami gejala sindrom berkenaan, namun ramai tidak menyedari keadaan mereka sehingga muncul tanda keletihan menyeluruh atau burnout.Jelasnya, penjaga perlu peka terhadap gejala awal seperti keletihan kronik, gangguan tidur berpanjangan, tekanan darah tinggi, sakit otot dan tulang belakang, serta sistem imun yang lemah."Masalah lain termasuk kemurungan akibat isolasi sosial, kesilapan dalam pengurusan ubat, serta kehilangan minat terhadap aktiviti harian," ujarnya.Muhammad Najib menegaskan, sokongan psikologi yang sesuai mampu memperkuat daya tahan penjaga.Katanya, antara bentuk sokongan disarankan ialah terapi individu seperti Kaunseling Kognitif-Tingkah Laku (CBT) dan terapi berfokuskan penyelesaian, selain terapi kumpulan dan sokongan keluarga.Sementara itu, pendakwah, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat berkata, menjaga ibu bapa yang uzur atau sakit bukan sekadar kewajipan moral, malah ia adalah amanah agama yang menjanjikan ganjaran besar jika dilaksanakan dengan ikhlas.Katanya, ramai sering berbalah mengenai siapa yang sepatutnya menjaga ibu bapa, sama ada anak sulung, anak lelaki atau anak perempuan."Hakikatnya, menjaga ibu bapa adalah tanggungjawab semua anak, bukan hanya seorang. Malah, ia sepatutnya dilihat sebagai peluang yang ALLAH beri, kerana tidak semua orang sempat berkhidmat kepada ibu bapa mereka ketika uzur," ujarnya.Mengulas mengenai hukum anak yang enggan menjaga ibu bapa, Syamsul Debat menegaskan ia boleh jatuh dosa jika menyebabkan hati ibu bapa mereka terhiris.Menyentuh isu anak-anak yang menghantar ibu bapa ke pusat jagaan, beliau menjelaskan bahawa perkara itu perlu dinilai berdasarkan keadaan."Ada pusat jagaan harian yang menyediakan rawatan, ubat dan pemantauan rapi. Itu berbeza dengan ‘rumah orang tua’ yang meninggalkan ibu bapa tanpa perhatian."Jika pusat jagaan lebih terjamin dari segi kesihatan dan keselamatan, ia boleh dipertimbangkan," ujarnya.Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa anak-anak tetap perlu meluangkan masa bersama ibu bapa, bukan menyerahkan sepenuhnya kepada pusat jagaan.Syamsul Debat turut mengingatkan setiap anak supaya melihat penjagaan ibu bapa sebagai peluang berharga, bukan tekanan."Mak ayah ini umpama puzzle kehidupan. Walaupun mereka sakit, bila mereka tiada, ruang itu tidak akan dapat diganti. Jagalah selagi ada peluang, kerana kita tidak tahu keberkatan dan rezeki apa yang ALLAH sediakan hasil daripada pengorbanan itu," ujarnya.Beliau menegaskan, berbakti kepada ibu bapa adalah salah satu jalan mudah ke syurga yang tidak wajar disia-siakan.Sinar Harian pada Sabtu melaporkan kisah-kisah pengorbanan penjaga pesakit kronik di rumah, ibarat wira tak didendang yang jarang disebut namun jasanya amat besar.Hidup mereka berubah selepas ahli keluarga jatuh sakit, di mana terpaksa mengorbankan masa dan tenaga, bukan untuk diri sendiri apatah lagi demi keseronokan.Sebaliknya, seluruh hidup mereka kini dicurahkan untuk memastikan insan tersayang yang tidak lagi berdaya dapat menjalani rutin harian dengan sempurna.