
Langkah tempatkan polis di sekolah isyarat sekolah tempat selamat – Yuneswaran
SHAH ALAM – Langkah kerajaan untuk menempatkan anggota polis di sekolah merupakan isyarat jelas bahawa institusi pendidikan perlu menjadi tempat yang selamat untuk semua pelajar.Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran menyambut baik usaha kerajaan itu dalam membendung peningkatan insiden keganasan yang melibatkan pelajar.Menurutnya, kebelakangan ini negara berdepan peningkatan kejadian tidak bermoral, termasuk kehilangan nyawa yang amat menyayat hati."Saya berasa lega apabila isu ini dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, dan kerajaan mahu memastikan kehadiran polis di sekolah menjadi isyarat bahawa institusi pendidikan adalah tempat yang selamat."Pada masa sama, keputusan kerajaan untuk melaksanakan pemeriksaan mengejut di sekolah juga merupakan langkah bijak kerana dapat mengurangkan risiko pelajar membawa senjata, dadah dan bahan berbahaya lain," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Tambah Yuneswaran, beliau turut menyokong usaha kerajaan untuk menuntut tanggungjawab yang lebih besar daripada platform media sosial terhadap kandungan yang dipaparkan serta mengehadkan akses kepada remaja bawah umur."Selain itu, cadangan memperkenalkan sistem pengesahan identiti elektronik (eKYC) bagi mengelakkan individu bawah 16 tahun terdedah kepada kandungan ganas, lucah dan berunsur kebencian adalah inisiatif yang wajar disokong," ujarnya.