
'Tiada jenayah serius pelajar TVET' - Ahmad Zahid
SHAH ALAM – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa setakat ini tiada sebarang kes jenayah atau salah laku serius dilaporkan membabitkan pelajar dalam institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).Beliau berkata, pihaknya sentiasa menekankan aspek disiplin dan tatakelakuan kepada semua pelajar di bawah program TVET bagi mengelakkan kejadian tidak diingini."Setakat ini, tidak berlaku sebarang kekerasan, jenayah atau salah laku dalam kalangan pelajar TVET," katanya ketika ditemui selepas merasmikan ASEAN Sports Industry Expo di Setia City Convention Centre, Setia Alam, di sini pada Jumaat.Ahmad Zahid yang juga Pengerusi TVET Negara menjelaskan bahawa pada setiap sesi pengambilan baharu, pengenalan kepada tatakelakuan menjadi antara perkara utama yang ditekankan."Kita sering mengingatkan pelajar mengenai kepentingan disiplin dan etika," katanya.Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mencadangkan supaya satu dasar khusus berkaitan industri sukan diperkenalkan semula bagi memastikan sektor berkenaan dapat berkembang secara berterusan dan tidak bergantung kepada perubahan kepimpinan.Beliau berkata, walaupun industri sukan pernah dipromosikan sejak tahun 1980-an oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), pelaksanaannya dilihat tidak konsisten kerana sering berubah setiap kali berlaku pertukaran menteri atau ketua setiausaha (KSU).Menurutnya, pasaran industri sukan dunia kini dianggarkan melebihi USD688 bilion dan Malaysia berpotensi meraih sebahagian kecil daripadanya sebagai sumber pendapatan baharu negara."Saya rasa elok jika dasar industri dalam sukan ini dapat diperkenalkan dan dijadikan sebagai satu panduan kerana pasaran industri sukan cukup besar."Ia bukan sahaja untuk negara kita, tetapi juga di peringkat ASEAN," jelas beliau.