
Nelayan maut bot bertembung
DUNGUN – Seorang nelayan maut manakala dua rakannya cedera selepas dua buah bot gentian kaca bertembung dalam kejadian berhampiran muara Sungai Paka, awal pagi Rabu.Dalam insiden kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa, Mohd Rasid Jusoh, 58, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Paka.Difahamkan, ketika kejadian, ketiga-tiga nelayan terbabit termasuk mangsa dan dua rakannya baru bertolak keluar dari jeti berhampiran untuk menangkap ikan di laut.Rakan mangsa, Rosli Md Lazim, 54, berkata, dia menaiki bot di belakang menyedari kejadian itu selepas ternampak satu objek terapung kira-kira 500 meter dari jeti sebelum menghampirinya."Saya nampak bot terbalik dan ternampak Mohd Rasid berpaut dalam keadaan lemah. Saya terus selamatkan dia dan bawa ke darat sebelum ke klinik, tapi dia tidak sempat diselamatkan."Sebuah lagi bot yang terlanggar bot dinaiki Mohd Rasid mendakwa tidak menyedari kehadiran bot itu dan menyangka hanya melanggar kayu," katanya.Rosli berkata, sebelum kejadian, dia bersama Mohd Rasid dan Ismail sempat menikmati sarapan pagi dan menunaikan solat Subuh berhampiran jeti."Selepas solat, kami bertiga menaiki bot masing-masing untuk ke laut. Ismail bergerak dahulu kemudian disusuli Mohd Rasid dan saya bergerak paling belakang," katanya.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut manakala rakannya yang cedera menerima rawatan di Hospital Dungun.