
Kerajaan bakal tambah Mahkamah Maritim di Johor, Sabah dan Sarawak
KOTA TINGGI – Kerajaan akan menambah bilangan Mahkamah Maritim terutama di negeri-negeri yang mencatatkan banyak kes berkaitan maritim dan perkapalan bagi mempercepat proses pendakwaan serta penyelesaian kes.Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ketika ini hanya satu Mahkamah Maritim beroperasi di Kuala Lumpur.Menurutnya, dengan peningkatan kes serta perkembangan sektor perdagangan menggunakan laluan laut, lebih banyak mahkamah seumpama itu perlu diwujudkan di lokasi strategik."Saya dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah berbincang mengenai undang-undang maritim. Buat masa ini, hanya ada satu mahkamah laut di Kuala Lumpur."Dengan perkembangan perdagangan menggunakan laluan laut, kami bercadang menambah beberapa lagi mahkamah laut, antaranya di selatan Johor, Sabah, Sarawak serta di utara, iaitu Langkawi atau Pulau Pinang," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Mahkamah Baharu Pengerang di Bandar Penawar pada Sabtu.Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, cadangan tersebut akan dibawa ke Parlimen pada awal tahun depan bagi pelaksanaannya.Katanya, sementara itu, kes-kes jenayah maritim akan terus dibicarakan di mahkamah sivil sedia ada mengikut lokasi masing-masing."Langkah ini akan memudahkan penyelesaian kes maritim yang semakin meningkat tanpa perlu semuanya dibawa ke Kuala Lumpur," katanya.Jelas beliau, undang-undang maritim sedia ada akan terus diguna pakai dan penambahan Mahkamah Maritim ini akan memperkukuh lagi sistem kehakiman negara.