
Hab EV pertama di Malaysia dibina di R&R Seremban
SEREMBAN - Sebuah hab pengecasan kenderaan elektrik (EV) Bersepadu Pertama di Malaysia (Hab EV) akan dibangunkan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah Selatan) Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) tidak lama lagi.Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek yang melibatkan kos kira-kira RM12 juta itu dijangka siap menjelang awal tahun 2027."Inisiatif Hab EV ini merupakan satu usaha yang selari dengan dasar dan hala tuju kerajaan dalam mempercepatkan peralihan tenaga dan mobiliti rendah karbon."Ia merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Pelan Peralihan Tenaga Negara dan Pelan Mobiliti Rendah Karbon untuk mencapai sasaran sifar pelepasan rumah hijau menjelang 2025," katanya pada Majlis Pecah Tanah Hab Pengecasan EV Bersepadu Pertama di Malaysia di sini pada Khamis.Turut hadir Pengerusi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Mohamad Nasir Ab Latif.Menurutnya lagi, Hab EV berkenaan akan dilengkapi dengan 20 poin kemudahan pengecasan pantas prestasi tinggi sehingga 350 kiloWatt (kW).Jelasnya, reka bentuknya disediakan dengan infrastruktur solar sekali gus membuktikan komitmen terhadap amalan tenaga boleh diperbaharui.Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan komited untuk mencapai sasaran mewujudkan 10,000 stesen pengecas EV di seluruh negara menjelang akhir tahun 2025."Sasaran 10,000 stesen pengecas EV melibatkan semua lokasi termasuk di lebuh raya, PLUS menyumbang kepada penambahan stesen EV yang lebih banyak."Difahamkan terdapat 140 poin pengecas pantas di kesemua lebuh raya di Malaysia termasuk 114 poin di PLUS, inisiatif ini akan diteruskan dengan tambahan 50 poin pengecas di seluruh negara pada tahun hadapan," katanya.Sementara itu, Mohamad Nasir berkata, PLUS komited untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 35 peratus menjelang tahun 2030."Sejak 2023 PLUS telah menganbil langkah proaktif dengan membangunkan dan melaksanakan infrastruktur pengecasan pantas bagi EV di rangkaian lebuh raya."Lokasi Hab EV ini dipilih di R&R Seremban (arah Selatan) bagi memberi nilai tambah kepada pembangunan semula hentian tersebut yang telah melakar sejarah sebagai R&R lestari pertama di Malaysia," katanya.Semasa majlis tersebut, PLUS dan Yinson GreenTech telah mengumumkan kolaborasi bersama melalui Terra ChargEV Sdn. Bhd sebuah syarikat yang akan membangunkan Hab EV itu.