Suami orang dicekup berkhalwat dengan janda, 'ubat kuat' turut ditemui

Suami orang dicekup berkhalwat dengan janda, 'ubat kuat' turut ditemui

BATU PAHAT – Hasrat seorang lelaki berstatus suami orang untuk berdua-duaan dengan seorang janda di sebuah hotel di sini pada Jumaat terbantut apabila mereka diserbu dan dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana disyaki berkhalwat.Dalam operasi jam 12.00 tengah malam itu, lelaki berusia 40-an dan wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan selepas mendaftar masuk lebih sejam di hotel berkenaan.Menurut JAINJ, siasatan awal mendapati bilik berkenaan ditempah secara dalam talian pada kadar sewa melebihi RM200 semalam."Pintu bilik hanya dibuka lapan minit selepas diketuk oleh pasukan penguat kuasa dan pasangan terbabit didapati berpakaian lengkap ketika ditahan."Hasil pemeriksaan lanjut menemui satu kotak dipercayai ubat kuat lelaki yang dibuang ke dalam bakul sampah," katanya dalam kenyataan.Katanya lagi, penguatkuasa JAINJ kemudian merekodkan keterangan untuk membantu siasatan."Pasangan ini akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dengan denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.

Ribut petir, hujan lebat dijangka landa beberapa negeri - MetMalaysia

Ribut petir, hujan lebat dijangka landa beberapa negeri - MetMalaysia

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Sabtu mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa negeri susulan jangkaan hujan lebat dan angin kencang yang berterusan hingga 7 malam ini.MetMalaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan pada jam 4.30 petang memaklumkan, cuaca buruk dijangka berlaku di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Johor dan Sabah.Antara kawasan yang terlibat termasuk Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah; Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim di Perak; serta Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan.Kawasan lain yang turut dijangka dilanda ribut petir ialah Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman di Terengganu; Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Temerloh, Kuantan, Bera dan Rompin di Pahang; Klang dan Petaling di Selangor; serta Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru di Johor.Sementara itu di Sabah, amaran melibatkan kawasan pedalaman seperti Nabawan, Keningau dan Tambunan, Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Ranau) serta daerah Tawau, Kunak, Lahad Datu dan Sandakan.MetMalaysia menasihati orang ramai agar berwaspada terhadap kemungkinan berlaku banjir kilat dan kerosakan akibat tiupan angin kencang, selain mengelakkan aktiviti di kawasan lapang dan perairan sepanjang tempoh amaran berkuat kuasa. - Bernama