Gol Ahmad Nazri pastikan kemenangan sulung Kelantan WTS

Gol Ahmad Nazri pastikan kemenangan sulung Kelantan WTS

PEMBUKAAN perlawanan Liga A1 Semi-Pro di Stadium Sultan Muhammad IV pada Isnin berpihak kepada tuan rumah, Kelantan WTS FC, apabila berjaya menewaskan Malaysian University (MU) dengan keputusan 1-0.Permukaan padang yang becak dan cuaca hujan tidak menjadi halangan buat anak buah Che Saupi Ibrahim untuk meraih tiga mata penuh di laman sendiri.Bagaimanapun, Kelantan WTS terpaksa menunggu sehingga minit ke-74 untuk mencipta jaringan tunggal perlawanan hasil tandukan Ahmad Nazri Muhamad yang bijak memanfaatkan sepakan sudut oleh Khairul Asyraf.Aksi separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling melakukan beberapa percubaan ke arah pintu gol lawan.Sepakan percuma pemain Kelantan WTS, Mohd Nazrin Nohd Nawi, pada minit ke-7 gagal menghasilkan jaringan untuk tuan rumah.MU hampir membuka tirai jaringan namun sepakan Muhammad Aiman Danial Che Ramlan gagal disudahkan oleh Muhammad Adim Muzahhir Saipu Azuan.Percubaan kapten pasukan Kelantan WTS, Wan Zaharul Nizam, dari luar kotak penalti pada minit ke-42 turut tersasar.Kedua-dua pasukan terikat 0-0 pada separuh masa pertama.Memasuki babak kedua, percubaan pemain Kelantan WTS, Nor Shahmin Irfan, hampir menembusi gawang MU pada minit ke-46.Sepakan percuma oleh Muhammad Aiman Yusof pada minit ke-55 juga tidak berjaya menghasilkan gol.Akhirnya, pada minit ke-74, Ahmad Nazri muncul sebagai wira apabila menyempurnakan peluang yang memberi kemenangan tipis 1-0 kepada Kelantan WTS FC.

Nafkah sementara beri keadilan buat isteri tidak bekerja - Menteri Agama

Nafkah sementara beri keadilan buat isteri tidak bekerja - Menteri Agama

SHAH ALAM – Nafkah sementara menjadi sinar perlindungan dan keadilan buat isteri yang tidak bekerja atau tiada sumber pendapatan, sementara menunggu kes induk nafkah diselesaikan di Mahkamah Syariah.Nafkah sementara itu diperuntukkan di bawah Seksyen 70 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) yang terpakai di Wilayah Persekutuan, manakala negeri-negeri lain tertakluk di bawah Seksyen 71 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam masing-masing.Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, perintah tersebut boleh dikeluarkan oleh mahkamah terhadap suami sekiranya mahkamah berpuas hati bahawa terdapat alasan yang munasabah dan mencukupi bagi isteri menerima nafkah menurut Seksyen 70(1).Beliau berkata, nafkah sementara berperanan membantu kelangsungan hidup isteri sepanjang tempoh perbicaraan yang lazimnya memakan masa antara enam hingga tujuh bulan."Isteri yang tidak bekerja dan tiada sumber pendapatan pasti berdepan kesukaran menyara dan meneruskan kehidupan seharian."Jika dia tidak mendapat nafkah daripada suami, bagaimana dia hendak membeli makanan untuk kelangsungan kehidupannya setiap bulan?"Justeru, isteri berhak untuk memohon kepada mahkamah agar dikeluarkan satu perintah dinamakan perintah nafkah sementara," katanya.Beliau berkata demikian dalam siaran langsung Kelas Bacaan dan Pemahaman Akta – Jangan Tertindas: Ketahuilah Hak Nafkah Sementara dan Tempat Tinggal Anda di Facebook beliau pada Isnin.Mohd Na’im menjelaskan bahawa jumlah nafkah sementara biasanya tidak sama dengan amaun yang dituntut dalam kes induk.Bagaimanapun, katanya, sekiranya isteri menuntut RM1,000 sebulan dalam kes induk, mahkamah lazimnya tidak akan memberikan jumlah yang sama bagi nafkah sementara supaya tidak dilihat mendahului keputusan kes utama.Sebagai contoh, mahkamah boleh memerintahkan suami membayar RM500 sebulan, sekiranya berpuas hati dengan alasan yang dikemukakan.Menurutnya, antara alasan kukuh yang boleh meyakinkan mahkamah termasuklah wujudnya akad nikah yang sah antara suami isteri serta tiada sabitan nusyuz terhadap isteri."Perintah nafkah sementara itu berkuat kuasa serta-merta selepas dikeluarkan mahkamah dan tidak perlu menunggu sehingga kes induk selesai sepenuhnya," ujarnya.Tambah beliau, perintah tersebut akan berjalan setiap bulan sehingga mahkamah mendengar keseluruhan kes dan mengeluarkan keputusan akhir berkenaan jumlah nafkah sebenar yang perlu dibayar oleh suami.Dalam pada itu, beliau menjelaskan, Seksyen 70(2) pula memperuntukkan bahawa suami boleh melaraskan nafkah sementara yang dibayar dengan amaun yang diperintah untuk dibayar sebagai nafkah tetap, dengan syarat amaun yang diterima oleh isteri mencukupi untuk keperluan asasnya.

Perincian perlaksanaan penyasaran semula subsidi RON95 diumum akhir September - MOF

Perincian perlaksanaan penyasaran semula subsidi RON95 diumum akhir September - MOF

KUALA LUMPUR - Perincian pelaksanaan penyasaran semula subsidi RON95 bakal diumumkan menjelang akhir September 2025 selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai 2025, kata Kementerian Kewangan (MOF).Sehubungan itu, katanya, kerajaan sedang giat membangun dan menguji mekanisme penyasaran subsidi bagi memastikan ia beroperasi secara lancar apabila dilaksanakan."Usaha ini termasuk memperhalusi data daripada agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Perangkaan Malaysia."Kerajaan berusaha memastikan pendekatan yang lebih menyeluruh diterapkan supaya subsidi RON95 dapat meliputi kelompok yang disasarkan," katanya menerusi Jawapan Bagi Pertanyaan Jawab Lisan yang dipaparkan di portal Dewan Rakyat pada Isnin.Kementerian menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang ingin tahu status terkini pelaksanaan penyasaran semula subsidi RON95 yang diumumkan oleh Kementerian Ekonomi berkenaan fasa front-end dan back-end.Menurut MOF, sepertimana yang diumumkan, apabila penyasaran semula subsidi RON95 dilaksanakan melalui penggunaan MyKad, rakyat terbanyak akan dapat menikmati harga RON95 yang lebih rendah iaitu RM1.99 seliter.Mereka yang tidak layak untuk subsidi RON95 seperti bukan warganegara perlu membayar harga pasaran tanpa subsidi, katanya. - Bernama

Menteri Kerja Raya nafi keluarkan surat berkaitan bayaran gratuiti

Menteri Kerja Raya nafi keluarkan surat berkaitan bayaran gratuiti

KUALA LUMPUR - Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menafikan bahawa kementerian itu telah mengeluarkan sepucuk surat bertarikh 28 Julai 2025 yang tular di media sosial berkaitan bayaran gratuiti kepada seorang individu.Beliau berkata, surat itu adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan sama ada oleh pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) atau beliau sendiri sebagai menteri."Kementerian tidak pernah mengeluarkan sebarang jemputan rasmi bagi majlis penyerahan bayaran gratuiti sedemikian."Sehubungan itu, saya menasihati orang ramai agar tidak terpedaya dengan dokumen seumpama ini yang jelas mempunyai unsur penipuan dan penyamaran," menurutnya dalam kenyataan malam ini.Alexander berkata, pihaknya telah mengambil maklum perkara itu dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut.Orang ramai yang mempunyai sebarang keraguan mengenai ketulenan dokumen atau komunikasi yang didakwa dikeluarkan oleh KKR dinasihatkan untuk menghubungi terus saluran rasmi kementerian di laman sesawang www.kkr.gov.my atau talian rasminya.Sebelum ini, tular di media sosial surat pemberian gratuiti lebih RM26 juta kepada waris seorang individu dalam majlis yang akan diadakan esok di KKR di sini. - Bernama

Musim ini misi 'balas dendam' Manchester United

Musim ini misi 'balas dendam' Manchester United

PERTAHANAN Manchester United, Leny Yoro menegaskan skuad The Red Devils turun dengan misi 'balas dendam' selepas melalui musim paling buruk dalam tempoh lebih 50 tahun.United menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu di tangga ke-15 iaitu kedudukan terburuk mereka sejak tersingkir ke divisyen kedua pada tahun 1974.Bagaimanapun, skuad kendalian Ruben Amorim menunjukkan prestasi positif dalam siri pramusim di Amerika Syarikat selepas meraih dua kemenangan dan satu keputusan seri menentang West Ham, Bournemouth dan Everton.Para pemain serta barisan kejurulatihan kini telah pulang ke Manchester untuk melengkapkan persiapan terakhir menjelang sepak mula musim baharu EPL.Menjelang aksi pertama menentang Arsenal di Old Trafford pada 17 Ogos ini, Yoro yakin bahawa musim kali ini tidak akan mengulangi kekecewaan tahun lalu."Apabila anda bermain untuk Manchester United, anda perlu ada mentaliti untuk jadi versi terbaik diri sendiri."Saya rasa apa yang berlaku musim lepas adalah satu kesilapan besar buat kami. Sebagai Manchester United, kami tidak boleh berada di kedudukan itu. Penyokong tahu, semua orang tahu, dan kami juga sedar akan hal ini."Musim ini akan jadi berbeza. Ia seperti misi balas dendam buat kami. Kami perlu beraksi dengan lebih baik," katanya.United telah berbelanja besar untuk mendapatkan khidmat Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo pada jendela perpindahan kali ini sekali gus meletakkan tekanan tinggi terhadap prestasi awal pasukan.Pengendali United, Amorim juga dijangka berdepan tumpuan besar selepas permulaan tugas yang tidak mudah.Yoro yang sebelum ini bergelut dengan kecederaan sejak menyertai United musim panas lalu turut menyedari akan wujudnya kritikan daripada pihak luar, namun yakin skuad sedia ada mampu menepis segala gangguan."Kami adalah kelab besar. Sudah tentu ada ramai yang mahu lihat kami gagal, dan kami sedar tentang itu. Tapi masih ramai yang mahu lihat kami berjaya. Kami hanya mahu fokus kepada penyokong kami."Kami tak peduli apa yang orang luar kata, tetapi saya faham sebab kami memang tak beraksi dengan baik. Musim ini, saya harap ia akan jadi berbeza. Kami tak perlu dengar semua itu. Cukup sekadar fokus pada diri sendiri," katanya.

Lelaki didakwa rompak bersenjata, bawa lari wang dan rokok

Lelaki didakwa rompak bersenjata, bawa lari wang dan rokok

MELAKA - Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka pada Selasa atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjatakan pisau di sebuah kedai serbaneka bulan lalu.Tertuduh, Amirul Hamry Hambalyi Azahari, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Haderiah Siri.Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan niat melakukan rompakan bersenjatakan sebilah pisau pemotong daging dan melarikan wang tunai RM202.80, tiga kotak rokok serta sebuah mesin pengimbas harga.Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 3 pagi di sebuah kedai serbaneka di Jalan Laksamana Cheng Ho 2, pada 29 Julai lalu.Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri setiap dua minggu sekali di balai polis dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.Tertuduh, yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah jaminan dikurangkan.Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM9,000 dengan syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan. Tarikh 2 September depan ditetapkan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.Bagaimanapun, suasana kecoh tercetus di ruang legar Kaunter Balai Polis Kompleks Mahkamah Melaka sejurus selepas prosiding apabila dua wanita, dipercayai ahli keluarga tertuduh, menghampiri seorang jurukamera televisyen berpengalaman lebih 15 tahun dan menyentuh bahunya sambil meminta agar rakaman dihentikan.Seorang lagi jurukamera akhbar berpengalaman hampir 30 tahun yang sedang membuat rakaman video tertuduh turut diganggu dengan cara yang sama.Salah seorang wanita berkenaan turut membuat dakwaan kononnya bekerja dalam sektor kerajaan dalam cubaan memprovokasi keadaan.Namun, situasi tegang itu berjaya diredakan oleh anggota polis bertugas yang segera menenangkan keadaan dan mengawal situasi.

Anggota polis langgar remaja hingga maut akan didakwa

Anggota polis langgar remaja hingga maut akan didakwa

SUNGAI PETANI – Anggota polis yang terlibat dalam kemalangan di Guar Chempedak sehingga menyebabkan kematian seorang remaja dijangka dihadapkan ke mahkamah pada Rabu.Proses pendakwaan ke atas anggota polis terbabit difahamkan akan dilaksanakan di Mahkamah Gurun.Dalam kejadian yang berlaku pada 28 Julai lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan menerima makluman mengenai kemalangan membabitkan sebuah kereta dipandu anggota polis dari IPD sama yang berlanggar dengan motosikal ditunggang Muhammad Nur Iman Danial Mohd Roshidi, 16, di lampu isyarat pekan Guar Chempedak.Siasatan awal berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, anggota terbabit yang datang dari arah Jenun ke Yan tidak berhenti di lampu isyarat merah, lalu merempuh motosikal mangsa yang datang dari arah Alor Setar ke Gurun.Remaja tersebut mengalami kecederaan parah akibat pelanggaran itu dan dilaporkan meninggal dunia selepas hampir tiga hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.Sebelum ini, Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah memaklumkan bahawa polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Beliau turut memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap anggota terbabit dan pihaknya tidak akan berkompromi atas kecuaian ketika memandu yang menyebabkan kehilangan nyawa.

Piala FA: JDT buka langkah pertahan kejuaraan di UM Arena

Piala FA: JDT buka langkah pertahan kejuaraan di UM Arena

PENYANDANG juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal membuka tirai kempen Piala FA 2025/26 menentang pendatang baharu, UM-Damansara United dalam aksi pusingan 16 di Stadium UM Arena, Kuala Lumpur pada 16 Ogos.Skuad Harimau Selatan kendalian Xisco Muñoz pastinya tidak mahu dipalit kejutan awal apabila turun menentang lawan dari Liga A1 Semi-Pro bimbingan Ridzuan Abu Shah, yang tampil buat kali pertama dalam saingan berprestij itu.Sebagai pasukan paling konsisten dalam pentas bola sepak tempatan, Harimau Selatan dijangka menurunkan kesebelasan terbaik bagi memastikan kelebihan awal sebelum aksi timbal balik berlangsung antara 12 hingga 14 September depan bagi memburu slot ke suku akhir.Naib juara musim lalu, Selangor FC bimbingan Katsuhito Kinoshi, yang kini memburu kejuaraan keenam selepas kali terakhir menjulang trofi berkenaan pada tahun 2009, membuka gelanggang berdepan Malaysian University Football Team (MUFT) di Stadium USIM, Nilai.Terengganu FC, juara dua kali, akan bertandang ke Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan menentang Imigresen FC pada 17 Ogos.Kuala Lumpur City, juara tiga kali, pula akan beraksi di tempat lawan menentang Kelantan The Real Warriors FC (Kelantan TRW) di Stadium Sultan Muhammad IV pada 18 Ogos.PUSINGAN 16 PIALA FA 2025/26SABTU, 16 OGOSUM-Damansara United lwn Johor Darul Ta’zim (JDT)(Stadium UM Arena, Kuala Lumpur, 5 petang)Malaysian University lwn Selangor FC(Stadium USIM, Nilai, 5 petang)DPM FC lwn Kuching City FC(Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Brunei, 8.15 malam)AHAD, 17 OGOSImigresen FC lwn Terengganu FC(Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, 5 petang)Bunga Raya FC lwn Sabah FC(Gelanggang akan dimaklumkan)Melaka FC lwn Penang FC(Stadium Hang Jebat, Melaka, 9 malam)ISNIN, 18 OGOSNegeri Sembilan FC lwn PDRM FC(Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 9 malam)Kelantan The Real Warriors FC lwn Kuala Lumpur City FC(Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, 9 malam)PUSINGAN 16 (Perlawanan Kedua)JUMAAT, 12 SEPTEMBERJDT lwn UM-Damansara United(Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, 9 malam)PDRM FC lwn Negeri Sembilan FC(Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 8.15 malam)SABTU, 13 SEPTEMBERSabah FC lwn Bunga Raya FC(Stadium Likas, Kota Kinabalu, 7.30 malam)Selangor FC lwn Malaysian University(Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 8.15 malam)Terengganu FC lwn Imigresen FC(Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, 9 malam)AHAD, 14 SEPTEMBERKuching City FC lwn DPM FC(Stadium Negeri, Kuching, 8.15 malam)Kuala Lumpur City FC lwn Kelantan The Real Warriors FC(Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, 8.15 malam)Penang FC lwn Melaka FC(Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, 9 malam)

Perak FA langkah kiri di Manjung

Perak FA langkah kiri di Manjung

PENAMPILAN Perak FA dalam kempen Liga A1 Semi-Pro musim ini bermula dengan langkah kiri apabila tewas 0-1 kepada UM-Damansara United di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini pada Isnin.Minit awal permainan agak perlahan bagi kedua-dua pasukan apabila masing-masing saling mengatur gerakan secara berhati-hati disebabkan permukaan padang yang basah akibat hujan.Perak FA terpaksa membuat pertukaran awal pada minit ke-14 susulan kecederaan yang menimpa Iffat Fahmi, yang kemudian digantikan oleh Aqil Amsyar.Pemain UM-Damansara United, Hariz Mansor menjadi pemain pertama dilayangkan kad kuning pada minit ke-18, diikuti pemain Perak FA, Daniel Hakimi yang turut menerima nasib sama pada minit ke-32.Memasuki minit ke-35, Perak FA berpeluang menjaringkan gol awal namun peluang tersebut disia-siakan oleh Firdaus Fuad.Permainan kemudian menjadi semakin rancak buat tuan rumah yang menguasai perlawanan dengan beberapa hantaran berbahaya ke kubu lawan.Di sebalik tekanan yang diberikan itu, pemain UM-Damansara United, Iman Hakimi turut dilayangkan kad kuning selepas melakukan terjahan ke atas Haikal Danish.Tamat separuh masa pertama menyaksikan lima kad kuning dilayangkan oleh pengadil dengan keputusan tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.Memasuki babak kedua, rembatan Amirul Akmal pada minit ke-47 berjaya didakap kemas oleh penjaga gol lawan.Pada minit ke-50, UM-Damansara United hampir membuka tirai jaringan menerusi umpanan Saiful Iskandar, namun rembatan Iman Hakimi tersasar ke kanan pintu gol Perak FA.Bagaimanapun, pada minit ke-72, pelawat berjaya menembusi gawang Perak FA menerusi rembatan Shahfizi Ikmal untuk mendahului perlawanan 1-0.Tersentak dengan jaringan tersebut, Perak FA berusaha menggandakan asakan untuk menyamakan kedudukan menerusi beberapa percubaan, namun pertahanan lawan berjaya menyerap tekanan hingga ke wisel penamat.Perlawanan berakhir dengan kemenangan 1-0 berpihak kepada UM-Damansara United, yang membawa pulang tiga mata berharga mengatasi tuan rumah, Perak FA.