
Warga emas baru sedar perkahwinan masih sah walau sudah fail cerai 25 tahun lalu
KUALA LUMPUR – Seorang warga emas lelaki berusia 65 tahun gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini supaya tarikh perceraian bagi perkahwinan pertama pada 16 Januari lalu dipinda hampir 25 tahun lebih awal kepada 8 Ogos 2000.Hakim, Datin Evrol Mariette Peters (kini Hakim Mahkamah Rayuan), memutuskan demikian selepas mendapati lelaki itu gagal mengesahkan perceraiannya tiga bulan selepas memfailkan perceraian pertama.Berdasarkan keputusan penghakiman yang dikeluarkan pada 27 Julai lalu, hakim berkata, lelaki berkenaan yang dirujuk sebagai HEB memohon supaya tarikh dekri mutlak, iaitu pengesahan rasmi perceraiannya yang dikeluarkan pada Januari lalu, dipinda kepada tarikh lain.Menurutnya, HEB dan isterinya yang dirujuk sebagai HEM telah diberikan dekri nisi iaitu perceraian belum sah sepenuhnya (peringkat sementara) pada 19 Jun 2000.Bagaimanapun, tiada langkah diambil oleh mana-mana pihak untuk mengesahkan perceraian menerusi dekri mutlak, selepas tempoh tiga bulan yang ditetapkan undang-undang.Meski pun belum mendapat dekri mutlak atau perceraian sah sepenuhnya (muktamad) dengan HEM, lelaki itu telah berkahwin buat kali kedua pada tahun 2001 dan mendapat beberapa cahaya mata.Sehinggalah pada April lalu, HEB memohon supaya tarikh dekri mutlak ditetapkan kepada tarikh asal perceraian dengan alasan mahu ‘menghalalkan’ perkahwinan kedua selain memperbetulkan status kelahiran anak-anaknya."Mahkamah mendapati kegagalan untuk memuktamadkan dekri nisi bukanlah kesilapan kecil atau teknikal, tetapi kelalaian yang serius dan tidak boleh dibetulkan dengan mudah."Undang-undang perceraian di Malaysia menetapkan dua peringkat iaitu dekri nisi dan dekri mutlak."Tempoh tiga bulan selepas dekri nisi bertujuan memberi ruang kepada pasangan untuk berfikir semula, menyelesaikan hal kewangan atau berbincang tentang anak-anak."Dekri ini tidak akan menjadi mutlak secara automatik selepas tiga bulan," kata hakim dalam penghakiman setebal 16 muka surat.Selain itu, mahkamah juga menolak alasan bahawa pemohon tidak tahu atau terlupa.Hakim turut menyatakan bahawa permintaan untuk menetapkan tarikh kepada 8 Ogos 2000 juga tidak masuk akal kerana pada masa itu belum cukup tiga bulan selepas dekri nisi diberikan.Mahkamah menegaskan, walaupun anak-anak daripada perkahwinan kedua tidak bersalah, namun proses undang-undang perlu dihormati dan tidak boleh diubah sesuka hati.Akibatnya, dekri nisi itu kekal tidak aktif selama hampir 25 tahun dan hanya dibuat secara mutlak pada Januari lalu secara rasmi.Beliau kemudiannya menolak permohonan tersebut dan mengekalkan tarikh dekri mutlak pada Januari 2025.Dalam kes ini, dekri nisi yang diberikan pada 19 Jun 2000 sepatutnya luput selepas tiga bulan, pada 18 September tahun sama."Perkara ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua pihak, iaitu seseorang tidak seharusnya tergesa-gesa untuk berkahwin semula tanpa terlebih dahulu memastikan semua dokumen berkaitan perceraian terdahulu telah diselesaikan dengan betul dan mengikut undang-undang," katanya.Mahkamah tidak mengenakan sebarang kos kepada mana-mana pihak.